CERIA... Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini  telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan bakal menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menghalang sesiapa yang berminat untuk menjadi perdana menteri.

Namun, kata Presiden PKR itu, perkara itu perlu dilakukan mengikut cara yang betul bukan menerusi pakatan dengan mana-mana kelompok mahupun dengan mengadakan mesyuarat sulit dengan pihak tertentu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, sebarang cubaan yang dibuat menerusi saluran tidak betul akhirnya akan mengalih tumpuan dan tanggungjawab yang sepatutnya diberikan kepada rakyat sebagai sebuah kerajaan.

“Sebenarnya saya tak fikir ini satu masalah pun. Saya tidak juga halang sesiapa lain yang berminat, tapi ikut jalur biasa, kalau tidak nanti kita kena pakat dengan kelompok itu, kelompok ini, mesyuarat sulit sana, sini, jadi tak tumpu kerja,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Anwar, tugas yang sepatutnya dilakukan semua pihak dalam Pakatan Harapan adalah mengambil langkah efektif setelah berhadapan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini.

“Apa masalahnya? Masalah rakyat. Ekonomi harus dibangunkan, masalah rakyat harus diselesaikan. Kalau kita (Pakatan Harapan) tak belajar lagi dari pukulan teruk di Tanjung Piai, parah kita,” katanya.

Anwar kesal kerana ada dalam kalangan angota PH yang memandang remeh kekalahan besar di kawasan Parlimen itu sehingga menumpukan kepentingan diri sendiri dan  mencari pengaruh untuk mengukuhkan kedudukan.

“Ini masalah saya lihat setelah Tanjung Piai, ada orang anggap tak ada apa-apa berlaku. Padahal Tanjung Piai itu dalam sejarah, satu kejutan luar biasa iaitu kebangkitan rakyat menggunakan peti undi untuk beri mesej jelas kepada kita.

“Jadi dalam Pakatan Harapan mesti ada sikap rendah diri, nampak rakyat gelisah marah atau protes atau nak ajar kita, maka belajarlah cepat.

“Kalau masih lagi cara begini, pamer kuasa masing-masing, nak agih projek, nak beli orang, guna berita palsu. Ini semua tak bantu kita,” katanya lagi.

Beliau juga enggan melayan sebarang berita yang tular mengenai peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepadanya kerana perkara itu telah disepakati sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi.

Mengulas mengenai mesej yang tersebar mengenai keberadaannya di Istana Negara pagi tadi, Presiden PKR itu berkata, ia hanya berita palsu yang dicetuskan oleh pihak yang tidak mempunyai pengaruh semata-mata untuk melaga-lagakan.

“Ini cuma percubaan untuk laga-lagakan dalam kalangan yang tiada kekuatan, bila tiada kekuatan, dia akan gunakan fitnah dan penipuan,” ujarnya.

BACA: Tular Anwar di Istana Negara, Fahmi akan buat laporan polis

— MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast