Pelancaran CORE Residence akan dibuat pada 25 November ini.

KUALA LUMPUR – CORE Precious Development Sdn Bhd, syarikat usaha sama (JV) antara China Communications and Construction Group (CCCG) dan WCT Holdings Berhad akan melancarkan projek pembangunan kediaman pertama di Tun Razak Exchange (TRX) – CORE Residence dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion.

CORE Precious syarikat usaha sama yang membangunkan CORE Residence dengan 80 peratus dimiliki oleh CCCG manakala 20 peratus lagi dimiliki oleh WCT.

Projek kediaman itu dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2024.

CORE Precious berkata, projek usaha sama ini merupakan projek kediaman mewah dibangunkan di atas tanah 1.65 ekar berstatus pegangan bebas di Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Sebagai projek kediaman pertama di TRX, CORE Residence diletakkan sebagai perintis kediaman global untuk para profesional dan pengamal kewangan untuk tinggal dan bekerja di daerah kewangan yang berprestij seperti di TRX,” kata Pengerusi dan Pengarah Urusan CORE Precious, Zhang Bao.

TRX merupakan pembangunan 70 ekar bersepadu yang bakal menjadikan mercu tanda baru di Kuala Lumpur serta daerah kewangan antarabangsa di negara ini.

Pemaju utama TRX, TRX City Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan bertindak sebagai syarikat pembangunan strategik.

Pemaju akan memastikan pembangunan di daerah kewangan ini mengikuti pelan induk masa depan yang menggabungkan infrastruktur berkelas dunia, reka bentuk mampan, serta ekosistem urban yang menarik.

Bao berkata, CORE Residence ini turut melengkapi dan memenuhi kehendak gaya hidup urban kepada golongan profesional selain menawarkan kemudahan dan akses yang pantas.

Tambah beliau, CCCG merupakan peneraju global di dalam pelbagai industri termasuklah hartanah, meliputi kawasan pembangunan projek berjumlah 30 juta meter persegi merentasi seluruh dunia.

Berpegang teguh kepada visi syarikat iaitu menjadikan dunia mudah diakses, bandar yang lebih hidup dan kehidupan penuh warna warni, pihaknya berhasrat untuk menjadikan CORE Residence @ TRX sebagai penanda aras untuk kehidupan moden dan mampan di Kuala Lumpur.

Ujar Bao lagi, CORE Residence @ TRX akan menampilkan ciri-ciri nyalaan semula jadi, sistem pengudaraan unit-unit hartanah yang menghadap pemandangan indah Kuala Lumpur serta dilengkapkan dengan kemudahan gaya hidup bertaraf lima bintang untuk keselesaan penghuninya.

“Kami mahu menjadikan projek ini sebagai satu nilai tambah dan memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan kehidupan yang sempurna atau bagi tujuan pelaburan,” tambahnya.

CCCG, memiliki 80 peratus kepentingan di dalam CORE Precious, merupakan kontraktor antarabangsa Asia terbesar dan menduduki tempat pertama syarikat yang disenaraikan di Asia untuk 10 tahun berturut-turut.

Ia disenaraikan di Hong Kong dan Shanghai, kedudukan keuntungan syarikat serta keupayaan mencipta nilai menjadikan ia antara peneraju pemain global. CCCG kini tersenarai di dalam Fortune Global 500 selama 12 tahun dan mencapai kedudukan 93 pada tahun ini. – MalaysiaGazette