KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengibaratkanTun Dr Mahathir Mohamad seperti buah kelapa yang semakin tua ‘semakin kemas’ untuk menyelamatkan negara.

Katanya, walaupun semasa pilihan raya umum lalu beliau pernah berkata yang Dr Mahathir sepatutnya menjaga Klinik 1Malaysia, namun dalam keadaan sekarang perdana menteri telah menunjukkan bukti positif.

Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Marang itu justeru percaya bahawa Dr Mahathir layak berbanding pemimpin-pemimpin lain untuk terus mengemudi pentadbiran negara.

“Itu pendirian asas kita. Walaupun semasa pilihan raya lalu, saya pernah sebut beliau tolong jaga Klinik 1Malaysia, tetapi nampaknya beliau makin tua makin menjadi.

“Tua-tua kelapa, makin tua makin kemas untuk selamatkan negara. Orang lain belum tentu, dia sudah tunjukkan bukti positif,” kata Abdul Hadi

Beliau yang ditanya mengenai pertemuan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu melibatkan parti lain.

“Saya rasa itu macam orang cemburu satu sama lain, itu terpulang parti lain.

“Kepercayaan sesama sendiri itu penting, masing-masing dapat menangani berdasarkan apa yang ada dalam parti masing-masing,” katanya.

Abdul Hadi turut mengulangi pendirian Pas untuk terus menyokong Dr Mahathir dan jika ada undi tidak percaya, kesemua 18 wakil ahli parlimen parti itu akan memberi undi percaya kepada perdana menteri.

BACA: PAS akan kotakan janji sokong PM jika berlaku undi tidak percaya – Hadi

BACA: Pas hanya sokong Dr Mahathir bukan PPBM

– MalaysiaGazette