Perdana Menteri merangkap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Ibu Pejabat PPBM, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia adalah lebih besar berbanding sebelum ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“FDI kini lebih besar berbanding dahulu, dan kita patut gembira,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan kurang mahir dalam skil komunikasi untuk menyebarluaskan mesej mengenai usaha dan dasarnya yang baik.

“Kerajaan ini tidak pandai berkomunikasi dan memberitahu apa yang telah dilakukan. Namun percayalah, kerajaan sudah melakukan lebih banyak perkara berbanding mana-mana kerajaan lakukan dalam tempoh masa yang singkat, satu setengah tahun,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di sini hari ini.

Nilai FDI meningkat 10.3 peratus kepada RM667.5 bilion pada suku kedua 2019 berbanding RM605.1 bilion setahun lepas.

Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020 baru-baru ini meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-12 dalam kalangan 190 ekonomi dunia, peningkatan daripada tangga ke-15 tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dilaporkan berkata bahawa peningkatan kedudukan itu adalah hasil daripada komitmen dan usaha sama sektor awam dan swasta dalam kumpulan kerja teknikal di bawah Pasukan Petugas Khas bagi Memudahkan Perniagaan (Pemudah) untuk meningkatkan persekitaran bagi memudahkan proses menjalankan perniagaan.

Dr Mahathir juga berkata pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan akan mengambil masa sebelum hasilnya dapat dilihat.

“Kerajaan juga memperkenal dasar baharu ke atas sektor perindustrian, pertanian dan usaha lain berkaitan ekonomi.

“Kita juga sedar mungkin ada kegiatan-kegiatan, teguran-teguran dan aktiviti yang memberi kesan buruk kepada Pakatan Harapan, dan ini kita akan bincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan tidak lama lagi,” katanya.

Antara lain, Malaysia melancarkan Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 (Industry4WRD) tahun lepas yang bermatlamat memacu Malaysia ke arah menjadi hab Industri 4.0 di Asia Tenggara.

Dasar Industry4WRD bertujuan meningkatkan produktiviti setiap pekerja sektor pembuatan di Malaysia sebanyak 30 peratus daripada RM106,647, yang akan meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi sebanyak 54 peratus kepada RM392 bilion daripada RM254 bilion.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan baru-baru ini merupakan perkembangan naratif baharu dalam usaha untuk menstruktur semula ekonomi supaya setiap orang dapat menikmati taraf kehidupan yang baik menjelang 2030.

Fokus WKB2030 adalah untuk mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan berpendapatan, etnik, kawasan dan rantaian bekalan, selain membolehkan Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.