KUALA LUMPUR – Pengendali sementara skuad kebangsaan Indonesia, Yeyen Tumena menyifatkan dua gol jaringan Safawi Rasid yang memberikan kemenangan kepada skuad Harimau Malaya adalah ‘hadiah’ daripada pemainnya.
Jelas Yeyen, ini kerana dua jaringan tersebut akibat kesilapan yang dilakukan pemain Indonesia sendiri.
“Dalam perlawanan antarabangsa, kita tidak seharusnya membazir peluang dan membiarkan lawan menghasilkan jaringan dari kesilapan.
“Dua gol Malaysia itu adalah hadiah dari pemain kami,” katanya pada sidang media malam tadi.
Safawi yang juga Bintang Paling Bernilai 2019 muncul sebagai wira negara apabila jaringan minit ke-30 dan ke-73 perlawanan memastikan tiga mata menjadi milik Malaysia.
Perlawanan kelima buat kedua-dua pasukan di dalam saingan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.
Yeyen menambah dia tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan kerana pemain berjaya mengikuti arahan taktikal yang diberikan.
Namun dia mengakui Harimau Malaya merupakan pasukan yang lebih baik dan berhak menang dalam perlawanan itu.
“Saya ucapkan selamat untuk Malaysia. Mereka menguasai permainan dan akhirnya mencapai kemenangan,” kata Yeyen yang sebelum ini merupakan penolong kepada bekas jurulatih yang dipecat, Simon McMenemy. – MalaysiaGazette