Keadaan jambatan berhampiran kampung Mirepoix-sur-Tarn yang runtuh dan menyebabkan dua orang terbunuh. foto Agensi

PARIS – Jambatan yang runtuh hingga mengorbankan dua nyawa di selatan Perancis disebabkan muatan lori yang terlalu berat.

Dalam kejadian semalam, dua kenderaan terjunam ke dalam Sungai Tarn apabila jambatan berhampiran kampung
Mirepoix-sur-Tarn runtuh.

Pendakwa Raya berkata, semasa kejadian terdapat sebuah lori dengan muatan lebih 50 tan melalui jambatan itu.

Jambatan gantung yang dibina pada tahun 1931, hanya boleh menampung berat maksimum 19 tan.

Artikel berkaitan: Jambatan runtuh, dua maut

“Kenderaan berat telah menggunakan jambatan itu … dipercayai menjadi punca kemalangan,” kata pendakwa Dominique Alzeari pada sidang akhbar.

Dalam kejadian itu, seorang gadis berusia 15 tahun dan pemandu trak maut.

Semasa kejadian gadis itu sedang menaiki kereta bersama ibunya ketika struktur jambatan itu terlepas daripada kabel penggantungan dan runtuh ke dalam sungai.

Ibu mangsa berjaya diselamatkan oleh orang ramai.

Tragedi itu turut menyebabkan lima orang cedera parah termasuk dua penyelamat dan penduduk tempatan yang cuba menyelamatkan mangsa-mangsa.

Mayat pemandu trak itu pula ditemui dalam operasi menyelamat.

Pemandu tersebut sedang dalam perjalanan penghantaran perkakasan penggerudian di syarikat dia bekerja yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian. – MalaysiaGazette