Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyaksikan penyerahan dokumen cadangan antara pelajar, Nur Iwani Izzati Ruhaizard (tiga kiri) kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (tiga kanan) pada Program #KidsTakeOverParliament: Kita Peduli di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching memberi amaran kepada pengetua, guru dan pihak pengurusan sekolah agar tidak menyembunyikan kes buli hanya kerana mahu menjaga nama baik dan prestasi.

Beliau berkata, tindakan tersebut tidak akan membantu menangani kes buli yang kini dilihat semakin membimbangkan di sekolah di seluruh negara.

“Saya rasa yang paling penting ialah kita perlu memastikan sekolah-sekolah jangan sembunyikan kes-kes buli walaupun sistem laporan telah disediakan tetapi saya tidak boleh nafi memang ada sekolah yang mungkin nak jaga nama baik mereka dan akhirnya mereka tidak laporkan kebanyakan kes hanya menjadi satu isu apabila ia menjadi viral.

“Kita menggalakkan pihak guru, pengetua, pengurusan sekolah untuk maklumkan laporkan jangan sembunyikan kerana sembunyikan tidak akan membantu murid-murid (yang dibuli),” katanya ketika ditemui semasa majlis #kidstakeoverParlimen di Dewan Bonquet Parlimen sebentar tadi.

Majlis yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bdeberapa kanak-kanak berumur 13 hingga 16 tahun diketengahkan hari ini kerana mempunyai pengalaman dibuli.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, terdapat cadangan yang meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula garis panduan untuk mengekang berlakunya buli di sekolah.

“Saya akan bawa balik cadangan mereka kita akan beri kepada menteri dan bahagian dasar untuk mengakji cadangan mereka yang sesuai, kita mungkin akan laksanakannya,” tambahnya.

Terdahulu ketika berucap Teo berkata, murid lelaki lebih terdedah kepada penderaan fizikal berbanding perempuan. -MalaysiaGazette