Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
Gambar hiasan

KUALA LUMPURĀ  -Petronas Gas Berhad (PGB) merekodkan penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 15 peratus pada suku ketiga berakhir 30 September kepada RM523 juta berbanding tempoh sama tahun lepas.

Penurunan prestasi itu disebabkan oleh kos operasi yang semakin tinggi sejajar dengan aktiviti-aktiviti penyelenggaraan dan pusingan berkanun yang telah dirancang.

Ia bagaimanapun berjaya diimbangi dengan keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat usahasama selepas operasi unit pengasingan udara (ASU) di Pengerang, Johor bermula secara komersial sejak suku pertama tahun ini.

PGB mencatatkan perolehan sebanyak RM1.34 bilion, lima peratus lebih rendah berbanding yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas disebabkan penurunan hasil daripada segmen Gas Pengangkutan dan Utiliti dengan pelaksanaan Regulasi berasaskan Insentif (IBR) dan jumlah jualan yang lebih rendah.

Namun begitu, hasil daripada Pemporsesan Gas meningkat sedikit.

Untuk tempoh sembilan bulan pertama 2019, PGB merekodkan perolehan sebanyak RM4.09 bilion berbanding RM4.11 bilion tempoh sama tahun lepas.

Keuntungan selepas cukai pula merosot lima peratus kepada RM1.49 bilion berbanding RM1.57 bilion yang dicatatkan pada sembilan bulan pertama tahun lepas.

PGB turut mengumumkan dividen interim bagi suku ketiga sebanyak 18 sen sesaham.- MalaysiaGazette