Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa hadir ke SPRM dipercayai berkaitan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Perbicaraan pinda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang masuk hari ke-3 membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersambung hari ini di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Saksi ke-4, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa yang telah membaca keterangan bertulis semalam akan terus menyambung memberi keterangannya kepada pihak pendakwa raya sebentar lagi.

Semalam, Ali Hamsa yang menyandang jawatan itu sehingga Ogos 2018 itu membuat kejutan dengan mendedahkan beberapa perkara termasuk bagaimana Najib tidak berpuas hati dengan kandungan Laporan Audit 1MDByang diperlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 24 Feb 2016.

Dakwa Ali Hamsa, Najib kemudian memberitahu beliau dan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dirinya tidak mahu dua penyata kewangan berlainan bagi 1MDB dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB.

“Pada masa itu, saya tidak tahu apa masalahnya dengan penyata kewangan tahunan 1MDB yang dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB.

“Walaupyn saya adalah Lembaga penasihat 1MDB, namun saya juga tidak menghadiri mesyuarat atau menandatangani apa-apa dokumen berhubung syarikat itu.

“Saya tidak pernah terbabit dalam mana-mana proses audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara (NAD). Dalam pertemuan itu, saya malah tidak pernah membaca Laporan Audit 1MDB yang Datuk Seri Najib maksudkan,” katanya dalam keterangan.

Selain itu Ali Hamsa juga mendedahkan bagaimanakah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Ketua Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail  dipecat daripada jawatan kerana 1MDB.

Ali Hamsa mendakwa, Muhyiddin banyak melontarkan persoalan demi persoalan berkaitan 1MDB ketika mesyuarat kabinet manakala Gani Patail pula, Najib sudah mula ‘hilang’ keyakinan terhadap penasihat undang-undang itu.

Dalam keterangannya itu, Ali berkata terdapat empat isu yang dipersetujui untuk dikeluarkan daripada Laporan Audit 1MDB, satu daripadanya adalah dua versi bercanggah dalam laporan kewangan tahun 2014 syarikat itu.

Beliau juga mendakwa  Ambrin membangkitkan isu itu dalam mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB, yang diadakan atas arahan Najib pada 24 Feb 2016, bagaimanapun tiada minit mesyuarat yang direkodkan.

“Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hadir dalam mesyuarat itu dan beliau menyuarakan bantahan tentang beberapa perkara dalam laporan 1MDB.

“Saya meminta beliau memperjelaskan alasannya selepas beliau mengakui terdapat dua versi berbeza dalam laporan kewangan 1MDB bagi tahun 2014.

“Arul Kanda membantah perkara yang diketengahkan dalam laporan audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara kerana perkara itu bukanlah fakta dan semata-mata hanyalah dengar cakap oleh itu beliau meminta supaya perkara seperti itu dikeluarkan daripada laporan berkenaan,” jelas Ali Hamsa.

Tambah beliau, Arul Kanda bertegas bahawa versi bercanggah tidak boleh dimasukkan dalam Laporan Audit 1MDB dan meminta supaya siasatan polis diadakan.

Dakwa Ali Hamsa, dalam mesyuarat pihaknya juga ada membangkitkan tentang isu kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB berkaitan pelaburan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN).

Najib juga Ahli Parlimen Pekan kini didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Perbicaraan akan bersambung sebentar lagi. –MalaysiaGazette