KUALA LUMPUR- Kerajaan sepatutnya memulangkan semula hasil petroleum kepada negeri-negeri yang berkenaan manakala Petronas pula perlu meneruskan operasi sebagai sebuah syarikat penerokaan minyak dan gas sama seperti Petron dan Shell, demikian menurut Parti Sosialis Malaysia.

Jawatankuasa Pusat PSM, Sharan Raj berkata, sudah jelas kerajaan Pakatan Harapan gagal untuk menghormati hubungan di antara Persekutuan dan negeri di samping gagal mengagihkan kekayaan kepada negeri-negeri yang berhak.

“Secara teknikal, petroleum adalah sumber asli yang dimiliki sepenuhnya oleh negeri-negeri berkenaan untuk diuruskan.

“(Bagaimanapun), kekayaan hasil petroleum telah dicuri secara tidak beretika dan tidak mengikut perlembagaan oleh elitis UMNO sejak tahun 70an dan perkara ini tidak boleh diterima.

“Sejak 50 tahun lalu, majoriti kekayaan petroleum dinikmati oleh sebilangan kapitalis dan kroni sahaja.

“Sarawak sendiri mengeluarkan dua pertiga daripada gas asli Malaysia dan menduduki tangga ke-20 teratas selaku pengeluar gas di dunia.

“Kekayaan tersebut seharusnya digunakan untuk mengeluarkan Pantai Timur dan Malaysia Timur daripada kemiskinan tetapi pada hari ini orang di Pantai Timur terpaksa ke Pantai Barat untuk mencari pekerjaan meskipun kekayaan sumber asli mereka dieksport dan digunakan di seluruh dunia.

“Pakatan Harapan juga berperangai sama seperti UMNO apabila Lim Guan Eng meminta pembayaran semula hutang dari Sarawak yang dtelah dipinjamkan untuk membaiki sekolah.

“Pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan tetapi kerajaan negeri dipaksa untuk menanggung kos berkenaan.

“Inilah masanya untuk membetulkan semula kesilapan yang telah dilakukan oleh UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan pertikaian di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak baru-baru ini.

Hari ini, Timbalan Ketua Menteri, Awang Tengah Ali Hasan menggelarkan Petronas sebagai tidak malu kerana enggan membayar cukai jualan sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri.

Katanya, syarikat-syarikat asing seperti Shell juga melakukan yang sama.

Mengikut undang-undang, syarikat petroleum negara itu wajib membayar cukai jualan di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Bagaimanapun, Petronas menerusi kerajaan persekutuan menawarkan pembayaran “saguhati” sebanyak tiga peratus kepada Sarawak ke atas produk-produk petroleumnya.-MalaysiaGazette