Perdana Menteri merangkap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Ibu Pejabat PPBM, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2019

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat beliau perlu membuat rombakan Kabinet berdasarkan kepada desakan beberapa pihak.

Menurut Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab untuk memenuhi desakan itu namun langkah tersebut perlu diperincikan kerana ia melibatkan pentabdiran negara.

“Kita berpendapat perlu kita mengadakan rombakan Kabinet. Saya sebagai PM bertanggungjawab berkenaan rombak Kabinet.

“Saya akan beri pertimbangan desakan adakan rombakan Kabinet,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di ibu pejabatnya hari ini.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, perkara itu perlu dibawa ke pengetahuan parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Desakan itu, kata Dr Mahathir, adalah disebabkan oleh kekalahan teruk Bersatu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Sejak tahun lalu, Dr. Mahathir berkali-kali menyatakan akan membuat rombakan Kabinet.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berpendapat desakan untuk membuat rombakan Kabinet tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi negara ini.

Ia kerana sekiranya melantik ahli-ahli Kabinet yang baharu, kerajaan tetap memerlukan masa untuk memulihkan kedudukannya sekarang.

“Kalau rombakan pun sekarang mungkin kita dapati orang baru dan dia pun akan ambil masa.

“Oleh tu kesannya mungkin tak dapat lihat hingga masa panjang, mungkin masa itu juga ada permintaan rombakan Kabinet lagi,” katanya.

Ditanya samada kerajaan mempunyai tempoh masa bagi rombakan Kabinet, Dr Mahathir berkata, ia mungkin dilakukan sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), tahun depan.

“Perkara itu, jika kita mempunyai perubahan (sebelum puncak APEC), ia akan menjadi sangat keliru malah ia akan mewujudkan banyak masalah.

“Tetapi jika saya dipecat (dari jawatan) saya tidak tahu. Tetapi saya fikir saya perlu serius mengenainya. Apa yang berlaku kepada saya bukan sesuatu yang penting, tetapi apa yang berlaku kepada negara sangat penting,” ujaarnya.

Untuk rekod, Malaysia akan menganjurkan APEC pada November tahun depan. -MalaysiaGazette