Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (dua kanan) bertengkar mulut dengan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kiri) yang dipercayai akibat salah faham antara mereka pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Sesi berdamai di antara dua Ahli Parlimen UMNO yang bergaduh tengah hari tadi akan ditangguh esok, kata Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Niat untuk menjernihkan semula hubungan antara Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said terpaksa ditangguh ekoran Ahli Parlimen Krau itu sudah meninggalkan Dewan Rakyat.

“Kuala Krau dah balik. Sesi cium mulut (berbaik) ditangguh hingga esok,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Zahid yang tiba di Parlimen bersama-sama Tajuddin memaklumkan hasratnya untuk menemukan kedua-dua Ahli Parlimen itu.

Kedua-dua wakil rakyat UMNO itu meninggikan suara pada tengahari tadi sehingga pada satu peringkat Ismail mengatakan Tajuddin ‘orang tua yang bodoh’.

Ismail tidak berpuas hati kerana mendakwa Tajuddin menularkan gambar rakan-rakan beliau menziarahi anaknya yang sakit namun ditunjukkan seolah-oleh ia satu pakatan untuk menyokong seorang pemimpin lain.

Diminta mengulas mengenai insiden tersebut, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof hanya berharap agar kedua-dua Ahli Parlimen terbabit berdamai.

“Saya pun tidak tahu kedudukannya bagaimana tapi itu dah biasa kalau gaduh-gaduh begitu. Saya harap mereka berbaik baiklah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast