Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

PASIR PUTEH – Polis hari ini menahan 10 pelajar sebuah sekolah agama di sini, kerana dipercayai membuli seorang rakan yang enggan menyiapkan kerja sekolah.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Muhammad Piah berkata, mangsa yang berusia 14 tahun itu dipukul beberapa kali dengan kaki dan tangan, apabila enggan menurut arahan rakannya pada kejadian yang berlaku pukul 10.30 pagi semalam.

“Tidak tahan dipukul, mangsa kemudian bertindak balas dengan menyerang balik rakannya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Sebelum itu, satu rakaman video berdurasi 30 saat, memaparkan pergaduhan antara mangsa dengan dua rakannya menjadi tular di media social Facebook dan aplikasi WhatsApp, sejak pagi tadi.

Abdullah berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di IPD Pasir Puteh dan mendakwa dia dibuli rakan sekelasnya supaya menyiapkan kerja sekolah, sejak sekian lama.

Beliau berkata, susulan laporan itu polis menahan 10 rakan sekelas mangsa, yang masing-masing berumur 14 tahun pada jam 11 pagi, untuk mengambil keterangan yang akan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katannya, polis memandang serius kes buli termasuk di sekolah, kerana boleh menyebabkan mangsa trauma, sambil menasihatkan ibu bapa dan guru sentiasa memantau pergerakan anak-anak, bagi mengelakkan kes buli seperti itu, berulang kepada pelajar lain.

Sementara itu, bapa mangsa Mohd Khairul Anuar Razak, 40, ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini berkata, ini adalah kali kedua anaknya dibuli dengan kali pertama berlaku, pada awal tahun ini.

Katanya, pada kali pertama beliau tidak membuat laporan polis, kerana diselesaikan cara muafakat antara beliau dengan pihak sekolah.

“Saya tidak menyangka kejadian seperti itu masih berulang buat kali kedua,” katanya. – MalaysiaGazette