KUALA LUMPUR – CIMB Bank Berhad (CIMB Bank) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menawarkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada segmen perusahaan kecil dan sederhana.

Peruntukan itu akan diagihkan melalui CIMB SME Micro Financing-i, modal kerja Islam dengan pembiayaan sehingga RM50,000.

CIMB dalam kenyataan berkata, sokongan CIMB dalam sektorĀ  PKS mikro melengkapkan langkah rangsangan yang baharu diumumkan kerajaan untuk membantu pertumbuhan PKS dalam bajet 2020,

Ia juga sejajar dengan Dasar Keusahawanan Kebangsaan Kerajaan untuk mempunyai 50% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disumbangkan oleh PKS menjelang 2030.

Penyelesaian pembiayaan mikro ini melalui platform Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), imSME.

imSME adalah platform atas talian yang dilancarkan pada tahun lalu, dicetuskan oleh Bank Negara Malaysia dan disokong oleh bank-bank yang mengambil bahagian.

Platform atas talian membolehkan PKS mengakses maklumat pantas dan masa nyata mengenai pilihan pembiayaan.

PKS boleh mendaftar untuk penyelesaian pembiayaan mikro CIMB melalui imSME di 30 cawangan CIMB.

Menurut kenyataan itu, platform ini akan disediakan di semua cawangan CIMB di seluruh negara
menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Komersial CIMB, Victor Lee berkata, kerjasama ini bagi membantu PKS mikro memenuhi keperluan pembangunan dengan membuat pembiayaan dengan lebih mudah.

Peruntukan RM50 juta ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan pertumbuhan PKS mikro tetapi juga keusahawanan dalam kalangan B40 supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan dan kehidupan. – MalaysiaGazette