Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusoff

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) digesa supaya menilai isyarat Tanjung Piai yang diibaratkan sebagai dentuman mercun di telinga agar bingkas bangun dan bertindak.

Naib Presiden Amanah Nasional (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, kekalahan PH dalam siri pergelutan demokrasi terakhir pada Pilihah Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sememangnya suatu perkara yang pahit untuk ditelan.

Katanya, kemenangan PH pasca 2018 adalah atas dua kekuatan iaitu dari semboyan reformasi dan semboyan anti-Najib.

“Kemenangan bergaya PH melupakan seketika punca sejarah tentang dari mana tapak mereka memulakan gerakan.
“Hanya kemudian setelah diuji dengan mandat, kepimpinan corak pemikiran kelompok ini semakin dilihat tidak menemui noktah persetujuan tentang agenda besar pemulihan, langkah-langkah bina semula negara dan naratif masa depan fasa Malaysia Baru.

“Tiadanya titik pertemuan kukuh antara dua kekuatan ini menyebabkan naratif kerajaan PH sentiasa ‘dirampas’ oleh saki-baki suara-suara ‘lama’ yang bersumberkan isu kaum dan agama yang sempit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mujahid berkata, anggota Majlis Presiden perlu melontarkan pandangan mereka secara jujur dan terbuka demi
menyelamatkan pengundi tegar masing-masing kerana ini adalah tapak kemenangan mereka.

Katanya, mereka perlu menguruskan proses ke arah pemulihan negara melalui pendekatan disiplin pengurusan perubahan untuk membina keyakinan pengundi tegar PH.

Ujarnya, menyalahkan antara parti tentang kelemahan PH bukan jalan penyelesaian, sebaliknya,
kesemua parti perlu mengambil tanggungjawab secara bersama tentang prestasi PH dan cuba memperbaikinya dengan agenda yang jelas.

“Akhirnya ialah kejayaan Kabinet membentuk dasar-dasar yang menyokong naratif Malaysia Baru.

“Kita akan dilihat gagal apabila setiap kementerian dilihat hanya menjalankan tugas rutin yang diwarisi
sebelumnya.

“Lebih buruk jika menteri-menteri mentadbir tanpa visi dan misi baru menyebabkan pegawai berleluasa menentukan hala tuju kementerian tanpa panduan.” ujarnya.

Tambah beliau, Masa berlalu dengan pantas dan jika isyarat Tanjung Piai gagal dipintas, pasti PH akan dicantas dari bawah sehingga ke atas.

Katanya lagi, pemimpin perlu memenuhi terlebih dahulu jawapan mengapa PH diberi mandat oleh rakyat pada PRU14.

“Masih ada waktu untuk PH bangkit dengan tenaga dan kudrat.

“Cari tempo kedua-dua kekuatan yang membentuk PH dengan mengambil langkah-langkah yang disarankan.

“Kita harus membalas isyarat kepada pengundi kita dengam memberitahu bahawa “kami faham dan sedang bertindak.” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.