KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditemukan maut dipercayai ditikam di bahagian dada dalam kejadian di Kampung Baru Kundang, Rawang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata mangsa berusia 45 tahun itu ditemui terbaring oleh rakannya pada kira-kira 8.55 malam.

“Dia disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan dan pemeriksaan mendapati mangsa cedera di bahagian dada sebelah kiri dipercayai terkena senjata tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun untuk membantu siasatan.

“Motif kejadian dipercayai cemburu kerana mangsa dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang wanita warga Indonesia,” katanya sambil menambah mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis masih mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes itu dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262222 atau Pegawai Penyiasat ASP Agilan A/L Iswaran 019-523 0801.- BERNAMA