KUALA LUMPUR – Pembangkang tidak menolak mewujudkan kerajaan alternatif berikutan kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurus negara dan berada dalam keadaan tidak stabil.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pembangkang bersetuju untuk tidak mewujudkan kerajaan pintu belakang dalam peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Setuju tiada kerajaan pintu belakang, walaubagaimanapun pembangkang tidak menolak kerajaan alternatif oleh kerana PH terus gagal mengurus negara dan PH terus tidak stabil.

“Yang penting rakyat dibela dan negara terus diutamakan,” kata menerusi Twitter beliau hari ini.

Komen berkenaan menyusul selepas media tempatan melaporkan wujud percubaan pembentukan kerajaan pintu belakang sejak akhir-akhir ini melibatkan pemimpin PH dan UMNO.

Pertemuan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan wakil rakyat UMNO pada 18 November didakwa membincangkan isu “kerajaan pintu belakang” dan usaha mempertahankan Dr. Mahathir.

Sinchew Daily melaporkan, pertemuan yang diaturkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bukan sekadar mengenai peruntukan kepada kawasan sahaja seperti yang dikatakan sesetengah pihak.

Kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Piai menimbulkan kebimbangan bahawa Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lantas, Azmin dikatakan bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein bertindak segera membentuk “pakatan” untuk mempertahankan kedudukan Dr. Mahathir.- MalaysiaGazette