Anwar semasa perjumpaan hari ini bersama Tun M di Yayasan Perdana Putrajaya.Foto: Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian beliau dan Tun Dr Mahathir  berhubung isu peralihan kuasa sama sekali tidak pernah berubah.

Ia seperti yang dipersetujui Pakatan Harapan (PH) dan dijanjikan berulang kali oleh Perdana Menteri.

Tegasnya, mereka juga tidak bersetuju sekiranya ada usaha lain yang menyimpang daripada persetujuan tersebut atau menggunakan nama beliau dan Perdana Menteri dalam mana-mana muslihat lain.

Malah, tambah Anwar, Perdana Menteri turut mengambil perhatian mengenai dakwaan terhadap kalangan anggota Jemaah Menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek.

Demikian kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat itu selepas mengadakan pertemuan selama 30 minit dengan Dr. Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau telah memohon persetujuan Dr. Mahathir untuk mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa isu berbangkit semasa pertemuan itu, yang menjadi topik perbincangan umum secara hangat sejak akhir-akhir ini

“Hari ini saya mengadakan pertemuan selama 30 minit bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan memohon persetujuan untuk mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa isu.

“Pertamanya, pendirian Tun Dr Mahathir dan saya berhubung isu peralihan kuasa sama sekali tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) dan dijanjikan berulang kali oleh Perdana Menteri.

“Saya memaklumkan isu peralihan kuasa ini perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama.

“Perdana Menteri turut mengambil perhatian serius mengenai dakwaan terhadap kalangan anggota Jemaah Menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Tambah Anwar, beliau bersama Dr Mahathir turut bersetuju untuk menumpukan perhatian pada pertumbuhan ekonomi dan penyediaan ke arah penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). – MalaysiaGazette