Presiden Nigeria Muhammadu Buhari pada Rabu menandatangani satu perintah eksekutif yang komited untuk menghentikan tindakan membuang air besar secara terbuka di seluruh negara menjelang 2025.

ABUJA – Presiden Nigeria Muhammadu Buhari pada Rabu menandatangani satu perintah eksekutif yang komited untuk menghentikan tindakan membuang air besar secara terbuka di seluruh negara menjelang 2025, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan presiden itu.

Buhari menugaskan semua pihak berkuasa penguatkuasaan berganding bahu dengan kerajaan untuk melaksanakan perintah itu.

Presiden itu sebelum ini mengisytiharkan keadaan kecemasan bagi sektor bekalan air, sanitasi dan kebersihan di Nigeria dan berkata semua tindakan yang bakal diambil mampu mengurangkan kelaziman penyakit bawaan air yang boleh membawa kematian.

Semasa menandatangani perintah eksekutif baharu itu, Buhari membenarkan penyediaan tandas yang boleh diakses dalam premis di semua tempat awam termasuk sekolah, hotel, stesen minyak, tempat beribadat, pasar, hospital dan pejabat.

Kenyataan presiden yang diedarkan kepada Xinhua itu menyebut bahawa Nigeria berada di ranking kedua dalam kalangan negara di dunia yang mempunyai jumlah rakyat paling tinggi membuang air besar secara terbuka.

Amalan ini, menurut kenyataan itu, telah mempunyai kesan negatif terhadap penduduk dan menyumbang kepada kegagalan Nigeria dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

— BERNAMA