Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Umat Islam pada satu ketika adalah pelopor dan mengungguli bidang ilmu pengetahuan dan teknologi, meraih kemasyhuran dan kegemilangan dalam usaha itu sehinggakan sumbangan mereka digunakan oleh tamadun-tamadun lain dalam sejarah.

Namun beberapa dekad kemudiannya, umat Islam mendapati diri mereka dalam keadaan yang amat menyedihkan — antara lain diusir keluar dari negara mereka sendiri, dilabelkan sebagai pengganas, negara mereka terlibat dalam kancah peperangan dan konflik sehingga ke tahap tidak dapat ditadbir, dan menjadi sasaran Islamofobia.

Bimbang dengan begitu banyak masalah yang menyelubungi komuniti itu, Malaysia, bersama-sama dengan beberapa negara lain yang sependapat, menerajui usaha untuk memahami apa yang silap — dengan harapan untuk akhirnya mengembalikan semula kemasyhuran dan kegemilangan dunia Islam — dengan menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) bulan depan.

“Sidang Kemuncak KL mahu memberi tumpuan terhadap semua masalah ini untuk mencari sebab kenapa kita berada dalam keadaan ini dan, mungkin, dengan memahami sebab-sebabnya, kita mungkin boleh merumuskan cara untuk mengurangkan, jika pun tidak dapat menghapuskan, semua masalah ini yang sedang dihadapi umat Islam,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Inilah tujuan Sidang Kemuncak KL. Mungkin, ia boleh disifatkan sebagai langkah pertama ke arah membina semula tamadun Islam yang hebat,” katanya dalam taklimat kepada media di Putrajaya baru-baru ini berhubung persidangan yang dicadang diadakan pada Disember di ibu negara Malaysia.

Ditanya mengenai keperluan mengadakan sidang kemuncak berasingan untuk mengutarakan kebimbangan itu daripada menggunakan platform sedia ada seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) atau ASEAN, Dr Mahathir berkata beliau percaya dalam ‘’permulaan kecil’’ dan tidak terlalu bercita-cita tinggi.

“Kami mahu bermula dengan, mungkin, beberapa individu yang mempunyai persepsi yang sama mengenai Islam dan masalah dihadapi umat Islam. Tetapi kemudiannya, sudah tentu, lain-lainnya mungkin akan turut serta,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata: “Banyak negara Islam berdepan masalah dan perlu menyelesaikan masalah mereka tetapi tiga negara ini serta Qatar dan Indonesia, saya fikir, ada masa untuk diluangkan untuk membincangkan perkara yang amat penting ini.”

Tiga negara yang dirujuk beliau adalah Malaysia, Pakistan dan Turki.

Cadangan untuk mengadakan sidang kemuncak ini tercetus daripada perbincangan yang berlangsung di Bandaraya New York antara Dr Mahathir, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di luar acara Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September lepas.

Susulan perbincangan itu, Imran Khan telah menghantar ciapan berhubung cadangan mewujudkan saluran khusus untuk mendepani cabaran Islamofobia dan membetulkan salah tanggapan mengenai Islam.

“Kami telah berbincang mengenai masalah dihadapi dunia Islam dan umat Islam dan, akhirnya, kami mendapati orang telah salah faham terhadap kita (orang Islam). Dan salah faham itu berpunca daripada publisiti negatif oleh orang yang sebenarnya tidak begitu menyokong orang Islam,” kata Dr Mahathir pada taklimat media di Putrajaya itu.

Untuk menanganinya, beliau berkata, umat Islam perlu memberitahu cerita di pihak mereka, dan satu daripada cara untuk melakukannya adalah menerusi televisyen yang mendedikasikan isi kandungannya, antara lain, untuk memberi penjelasan mengenai Islam, menonjolkan pencapaiannya dan memberi penerangan kenapa orang Islam tertentu melakukan perbuatan yang dilabelkan sebagai keganasan yang ditegah oleh agama Islam.

“Stesen TV ini amat penting. Ia (siaran) akan meliputi seluruh dunia, akan disiarkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain. Dalam proses ini, kami berharap orang akan memahami Islam dengan lebih baik, bukan sahaja orang bukan Islam tetapi juga orang Islam,” katanya.

Saluran itu, jelasnya, juga akan berperanan sebagai cara untuk membawa umat Islam kembali kepada ajaran sebenar agama Islam seperti ditetapkan dalam Quran.

“Kebanyakan daripada kita akan mendapati bahawa masalah itu bukannya dengan agama kita tetapi masalahnya adalah kita kebanyakannya menyeleweng daripada ajaran sebenar agama Islam,” kata perdana menteri, sambil memberikan contoh berhubung pandangan Islam terhadap perbuatan membunuh.

“Islam menegah kita daripada membunuh kerana membunuh seseorang itu umpama membunuh seluruh manusia, dan anda tidak patut membunuh saudara sesama Islam.

“Tetapi ada orang melakukan itu dan dilihat amat gembira melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sebab itu kita berdepan dengan semua masalah ini,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa umat Islam amat berjaya sebelum ini adalah disebabkan mereka mematuhi ajaran sebenar dalam kitab suci.

Tetapi di satu peringkat dalam perjalanan itu, katanya umat Islam menjadi lemah apabila mereka tidak memberikan perhatian secukupnya terhadap usaha mencari ilmu yang melangkaui agama dan menjadi berpecah-belah dengan kemunculan pelbagai kumpulan taifah.

— BERNAMA