Keadaan bertambah tegang apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron mengambil peluang untuk mengemukakan usul calon lain sebagai Senator iaitu Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh.

MELAKA – Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Omar Jaafar menolak cadangan ketua pembangkang, Datuk Seri Idris Haron agar semua wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri) menjalani ujian urin.

Idris (BN-Sungai Udang) melontarkan cadangan itu selepas mengemukakan soalan tambahan kedua kepada Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) mengenai pendirian Kerajaan Negeri Melaka terhadap isu ketum.

Low, yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah, menerima cadangan Idris namun meminta agar Idris dan Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) terlebih dahulu menjalani ujian urin hari ini terlebih dahulu.

Ghazale mewakili Datuk Latipah Omar (BN-Taboh Naning) yang tidak hadir pada persidangan hari ini.

Namum cadangan itu ditolak oleh speaker kerana perkara itu tiada dalam agenda mesyuarat hari ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan daripada ketua pembangkang itu, Low berkata Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) ketika mesyuarat agung tahunannya di Pulau Pinang baru-baru ini menolak penanaman ketum di negara ini.

Low berkata, pada 2003 kerajaan telah menetapkan penggunaan daun ketum di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1992 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Akta Racun 1992 penanaman ketum dibawa ke parlimen dan dibahaskan.

Beliau berkata, pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap individu yang menanam ketum namun bergantung kepada Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.