Huzir Mohamed

KUALA lUMPUR – Siasatan awal polis percaya video yang menunjukkan penyokong Indonesia dipukul tidak berlaku di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, penyebaran video berkenaan dipercayai dibuat dengan niat untuk memburukkan reputasi negara serta menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia

“Selain itu penyebaran video itu juga dilihat mempunyai agenda untuk memudaratkan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

PDRM sedang menyiasat kesahihan sebuah video berdurasi 48 saat di media sosial yang menunjukkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia dicederakan oleh beberapa orang dipercayai warga negara Malaysia.

Insiden itu didakwa berkaitan dengan perlawanan bola sepak Pusingan Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia 2023 melibatkan Harimau Malaya dan Indonesia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu.

Setakat ini PDRM telah menerima satu laporan polis yang mendesak agar kesahihan video itu disiasat segera.

Menurut Huzir, satu siasatan sedang dijalankan dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah beliau, sehingga kini PDRM dengan kerjasama SKMM sedang menjalankan siasatan terperinci berkenaan video tersebut.

Bagi memastikan siasatan kes berkenaan dapat dilakukan secara menyeluruh, katanya, polis menggesa individu yang menjadi mangsa sebagaimana dipaparkan dalam video itu supaya tampil membuat laporan polis.

“Mana-mana individu yang menjadi saksi atau mempunyai maklumat berkenaan insiden tersebut juga diminta untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video tersebut kerana dikhuatiri ia mampu mencetuskan kemarahan masyarakat di negara ini mahupun masyarakat Indonesia.

“Keamanan dan hubungan baik kedua dua negara tidak sewajarnya dicalarkan dengan penyebaran video yang tidak diketahui lagi kesahihannya,” katanya. – MalaysiaGazette