VIRGINIA – Bekas pegawai kes CIA dijatuhkan hukuman penjara 19 tahun di Virginia pada Jumaat selepas mengaku bersalah berkonspirasi menjadi perisik China.

Jerry Chuan Shing Lee, 55, berhenti daripada CIA pada 2007 dan berpindah ke Hong Kong.

Pada 2010, dia didekati oleh dua pegawai perisik China yang menawarkan bayaran AS$100,000 dan berjanji “menjaganya seumur hidup” sekiranya menyerahkan maklumat yang diperolehi semasa menjadi pegawai CIA.

Beberapa ratus dolar dibayar ke akaun peribadi Lee di antara 2010 hingga 2013 sebagai balasan kepada perkhidmatannya.

“Lee sepatutnya memegang tanggungjawab dan menghormati komitmennya untuk tidak mendedahkan maklumat pertahanan negara tetapi dia telah menjual negara dengan berkonspirasi menjadi perisik sebuah kerajaan asing.

“Dia juga berulang kali menipu para penyiasat mengenai tindak-tanduknya,” kata Peguam Daerah Virginia, Zachary Terwillinger dalam satu kenyataan.

Menurut Jabatan Kehakiman, semasa menggeledah bilik hotel Lee di Hawaii pada Ogos 2012, FBI telah menemui sebuah buku alamat dan perancang harian yang mengandungi nota-nota bertulis tangan yang dibuat olehnya semasa masih bertugas sebagai pegawai kes CIA sejak 2004. – Agensi