Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu berterus-terang dengan rakyat dan mengaku bahawa ia menjanjikan sesuatu yang mustahil dalam manifesto pilihan rayanya, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Susulan kekalahan besar PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, Lim berkata, beliau percaya, rakyat Malaysia akan “menghargai sikap terus-terang kita dengan sokongan dan kepercayaan yang tidak banyak berganjak.”

Bercakap kepada konvensyen DAP Perak di Ipoh hari ini, Lim juga berkata, DAP tidak akan menjadi seperti MCA atau PH seperti Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini kerana DAP dan PH komited dengan agenda membina sebuah Malaysia Baru, yang merupakan “objektif yang ditentang oleh MCA, BN dan Muafakat Nasional”.

Lim berkata, telah tiba masa bagi empat parti komponen PH mempertegaskan kembali harapan dan janji yang dibuat dalam manifestonya, yang dikenali sebagai Buku Harapan.

“Kita perlu meyakinkan penyokong tegar kita bahawa perjalanan ke arah Malaysia Baru berada di landasannya, dan lima janji teras yang terkandung dalam manifesto itu akan kekal sebagai bintang pedoman dan prinsip panduan kita,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Katanya, lima janji teras PH itu ialah meringankan beban kehidupan rakyat; melaksanakan pembaharuan institusi dan politik; menjana pertumbuhan ekonomi yang adil dan mapan; memulihkan status Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963; dan membina sebuah negara yang inklusif, moderat dan dihormati di peringkat dunia.

Lim berkata, PH menerima tamparan kuat di Tanjung Piai kerana pengundi kecewa terhadap rekod pencapaiannya dalam tempoh 18 bulan lepas.

“Lebih buruk ialah kepercayaan bahawa kerajaan PH di Putrajaya kini kembali ke cara usang kerajaan BN sebelum ini.

“Mereka (pengundi) salah, tetapi PH gagal menyampaikan maklumat dan meyakinkan rakyat bahawa kekecewaan dan kehampaan mereka, walaupun boleh difahami, adalah salah.

“PH tetap komited kepada usaha memperbetulkan proses pembinaan negara bagi melahirkan sebuah Malaysia Baru dan sedang bergerak ke arah itu,” katanya.

Lim, yang merupakan ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, tidak ada keperluan untuk menyemak semula “modus operandi” PH dan anggotanya.

Katanya, parti dan pemimpin perlu membina “pemikiran dan pendekatan PH” berhubung masalah yang dihadapi negara.

“Keseimbangan baru perlu dicapai antara pemuliharaan perpaduan dan disiplin dalam PH dan penyuaraan prinsip serta objektif yang belum diterima sebagai dasar bersama PH oleh parti komponennya.

“Saya tidak bersetuju, misalnya dengan kenyataan perdana menteri bahawa manifesto PH bukan “kitab suci” atau dengan cadangan pembinaan “kereta terbang” sebagai satu projek kerajaan, atau penahanan 12 individu atas dakwaan terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang tidak lagi wujud.

“Kita perlu mencari jalan yang membolehkan pemimpin dan aktivis dalam parti komponen menyuarakan pandangan mereka yang bertentangan dengan dasar dan langkah kerajaan tanpa dilihat berorientasikan pembangkang atau didorong oleh objektif sumbang untuk menjatuhkan kerajaan PH.” – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.