Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir bercakap pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat mengenai Kongres AMK Nasional di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2019

PETALING JAYA – Tidak timbul isu tradisi siapakah yang akan merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang bakal diadakan Jumaat nanti.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, timbalan presiden yang dilihat merasmikan Kongres itu cuma kelaziman dan sayap itu tidak terikat dengan tradisi itu.

“Tak timbul isu tradisi pun, isu itu ialah kelaziman dan dalam keadaan sekarang sokongan rakyat perlu diberikan penekanan serius, maksudnya untuk suarakan isu anak muda.

“Mungkin dilihat berbeza pada kali ini tapi ini bukan kali pertama, sebelum ini memang perasmi sayap Pemuda mahupun Wanita, perasmi itu tidak terikat dengan mana-mana jawatan mahupun individu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda KEADILAN (MPPAMK) berhubung dengan Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, perubahan itu tidak boleh dipertikaikan dalam usaha sayap itu untuk mengangkat agenda anak muda parti.

“Kali ini bukannya soal kenapa kali ini berubah, maksudnya perbincangan di peringkat majlis pimpinan kita nak pastikan agenda anak muda ini diangkat lebih jauh dengan hasrat menunjukkan PRK merupakan gabungan terkuat dalam PH dan beri komitmen kepada kerajaan untuk mentadbir negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, Akmal berkata, sayap PKR itu memecahkan tradisi perasmian Kongres mereka disebabkan kapasiti Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut beliau, keputusan itu diputuskan oleh kepimpinan AMK pada mesyuarat pada 20 Oktober lalu.

Sebelum ini, 21 daripada 25 pimpinan AMK membantah tindakan meminggirkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan kongres tahunan mereka 6 Disember depan.

Mengikut tradisi, kongres sayap pemuda parti itu dirasmikan timbalan presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti lazimnya.

Kongres Nasional Pemuda PKR akan berlangsung pada 6 Disember di Melaka International Trade Centre (MITC). -MalaysiaGazette