Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis oleh seorang warga Indonesia bernama Fuad Naji pada 19 November lalu.

Fuad dalam laporannya mendakwa telah dipukul dan disamun oleh sekumpulan lelaki di Bukit Bintang pada jam 2 pagi.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis percaya insiden itu tidak ada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dan Indonesia yang berlangsung pada 19 November lalu.

Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan telah dibuka dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Mangsa mendakwa kehilangan pasport dan sejumlah wang semasa insiden tersebut.

Namun, motif insiden itu tidak dapat dipastikan dan sehingga kini polis masih mengesan mangsa kerana pegawai penyiasat tidak dapat merekodkan sebarang kenyataan daripada Fuad.

“Pengadu terus menghilangkan diri setelah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sebaik selesai membuat laporan di pondok polis hospital.

“Usaha mengesan pengadu di hotel penginapannya juga menemui jalan buntu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, polis menggesa Fuad dan rakannya yang menjadi mangsa dalam insiden itu tampil berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

Polis juga memohon Kedutaan Indonesia untuk memaklumkan kepada Fuad mengenai perkara ini.

Tambah Huzir, berhubung penyebaran video pergaduhan itu, polis sedang dalam tindakan untuk mengesan dan mengenal pasti individu yang merakam dan menyebarkan video berkenaan.

Mana-mana saksi yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette