Polis menerima laporan daripada majikan wanita itu memaklumkan mangsa tidak hadir bekerja.

KUANTAN – Berang hidangan yang dimasak tidak dijamah dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga Indonesia memukul anak perempuannya yang berusia sembilan tahun di Taman Setia Jasa, Temerloh dekat sini.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Yusri Othman berkata kejadian dipercayai berlaku petang Jumaat lepas, apabila mangsa yang merupakan anak bongsu suspek membawa pulang hidangan yang dibekalkan suspek untuk jamuan di sekolah.

“Suspek yang berusia 47 tahun dipercayai marah apabila mengetahui makanan tersebut tidak disentuh murid dan guru menyebabkan dia marah, memaki hamun dan memukul mangsa.

“Pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa mengalami kesan lebam pada paha kiri dan bengkak di kepala,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata ibu mangsa membuat laporan selepas mengetahui kejadian itu daripada kakak mangsa yang berusia 10 tahun, yang menghubungi ibunya pada 4.30 petang Jumaat.

Katanya, suspek dan ibu mangsa sudah bercerai pada tahun 2015 dengan hak penjagaan tiga anak yang berusia antara sembilan hingga 13 tahun diserahkan kepada suspek.

Suspek kini ditahan reman sehingga Selasa, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA