Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) kini melengkapkan laporan kajian pengiktirafan sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, laporan lengkap hasil kajian itu akan disusun bersama lampiran-lampiran termasuk transkrip setiap temubual yang telah dilakukan.

“PPDUEC sedang dalam peringkat akhir lengkapkan laporan kajian mengenai isu pengiktirafan sijil UEC sebagai syarat ke IPTA.

“Sehingga hari ini PPDUEC  berjaya menyiapkan transkripsi 38 sesi daripada 48 sesi rakaman yang ada dan transkrip setiap temubual adalah satu elemen penting dalam laporan tersebut demi berlaku adil kepada semua pihak yang telah mengemukakan pandangan.

“Oleh sebab itu, proses menyediakan transkrip ini dilakukan secara cermat dan berhati-hati agar transkrip yang dibuat adalah tepat,” katanya semasa waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.

Beliau, optimis laporan lengkap PPDUEC ini akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan pada tahun ini juga untuk diteliti sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk keputusan muktamad.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu (PH), Datuk Rosol Wahid yang meminta menteri menyatakan bila hasil kajian PPDUEC akan dibentangkan dan sejauh mana ia akan mempengaruhi sistem persekolahan negara pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga berkata, PPDUEC telah melaksanakan proses libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan daripada pelbagai aspek bagi memuktamadkan isu ini.

“Pasukan petugas ini telah menjalankan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk 17 orang tokoh individu (bidang pendidikan, politik dan sosial), 27 buah pertubuhan bukan kerajaan, lima parti politik, 12 agensi kerajaan serta 14 institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi memastikan maklumbalas berkaitan isu pengiktirafan UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki IPTA bersifat menyeluruh.

“Selain itu sebanyak dua sesi townhall juga dengan penglibatan kumpulan anak muda dan belia bagi mendapatkan suara golongan muda mengenai isu ini dan Ahli-ahli Parlimen juga diambil pandangan mereka berhubung isu UEC dalam satu program Oktober lalu.

“Jumlah keseluruhan tokoh dan individu yang telah terlibat dalam memberikan pandangan dan sumbang saran ialah 406 orang,” tegasnya.- MalaysiaGazette