Pengurusan Persatuan Bola Keranjang Malaysia menundukkan kepala sebagai tanda memohon maaf selepas memberi penjelasan berhubung insiden Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima.

KUALA lUMPUR – Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menamatkan perkhidmatan kontraktor produksi ‘live stream’ yang memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima di skrin semasa Negaraku dimainkan pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Keranjang Milo Lum Mun Chak ke-28 semalam

Presidennya, Datuk Lua Choon Hann berkata, arahan menamatkan dan memadamkan video berkenaan dilakukan oleh Pegawai Eksekitif MABA sebaik sahaja pihaknya menyedari tentang kesilapan itu.

“Terlebih dahulu saya selaku Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) ingin memohon maaf kepada semua warga negara Malaysia.

“Pihak MABA mengambil tanggungjawab atas kecuaian dan kesalahan berkenaan Jalur Gemilang yang salah telah dipamerkan semalam semasa pembukaan pertandingan bola keranjang umur lime belas tahun ke bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Choon Hann, pihaknya memandang serius isu tersebut dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian berkenaan.

Tambahnya, Westport tidak terlibat dengan kajidian itu dan nama syarikat itu dipamerkan pada skrin di stadium tempat berlansungannya perlawanan bola keranjang itu kerana ia merupakan penaja petandingan.

Beliau juga memohon maaf kepada semua rakan penaja MABA di atas kesulitan disebabkan kejadian tersebut selain memohon maaf kepada rakyat Malaysia agar memahami kesilapan itu tidak disengajakan dan tidak berniat untuk tidak menghormati Jalur Gemilang. – MalaysiaGazette