Dr. Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR – Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) mahu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik terus diberi masa dan ruang untuk melaksanakan beberapa pembaharuan holistik dalam mengukuhkan sistem pendidikan negara agar lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Presidennya, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, walaupun baharu setahun setengah menerajui Kementerian Pendidikan, Dr Maszlee dilihat mampu menambah baik sistem pendidikan negara.

“Antaranya dengan memberikan lebih perhatian dan manfaat kepada pelajar dari golongan B40, memperkasakan guru serta komitmen menangani isu sekolah daif, mempermudahkan pendidikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), meningkatkan kewibawaan institusi pendidikan serta meningkatkan kerjasama dan jaringan dalam pendidikan tinggi, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

“Selain itu beliau turut mendekatkan universiti kepada masyarakat dengan membawa institusi pendidikan tinggi supaya memberi sumbangan dan impak yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus mengenai rombakan Kabinet dalam masa terdekat yang mengaitkan Dr Maszlee walaupun perkara itu dinafikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Taufik Yap berkata sebagai seorang yang gemar membaca, Dr. Maszlee Malik telah melancarkan beberapa kempen bertujuan membentuk masyarakat ilmu bertaraf dunia dengan fokus membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca.

“Beliau mengambil inisiatif melalui Kementerian Pendidikan dengan pendekatan baharu yang lebih mantap lagi agresif bagi menarik ramai masyarakat untuk mencintai dunia pembacaan.

“Slogan #MALAYSIAMEMBACA yang sebelum ini dilancar dan dipopularkan sebagai aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca, sekali gus melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Taufik Yap berkata, Dr Maszlee juga sangat menekankan dasar penerapan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan kegembiraan dalam pendidikan negara.

Menurutnya, menerusi penerapan itu, setiap rakyat Malaysia tidak kira latar belakang sosioekonomi, kaum, fizikal, budaya dan agama diberikan hak sama rata untuk mendapat pendidikan tanpa meminggirkan golongan minoriti serta mereka yang kurang upaya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dan yg memperkenalkan kasut dan stokin hitam..tu jer lah level dia..ehhh kat mana boleh claim tol Smpang Renggam??

Comments are closed.