Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang juga Exco Melaka sepatutnya menghormati keputusan Ketua Menteri Adly Zahari dan menyokong usul pelantikan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Melaka, Datuk Halim Bachik, sebagai Ahli Dewan Negara.

Dalam pengundian itu 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menolak, 12 ADUN menyokong dan tiga ADUN berkecuali.

Kesemua 13 ADUN Barisan Nasional (BN) menolak usul itu, 12 ADUN Pakatan Harapan (PH) menyokong, bagaimanapun yang menarik perhatian apabila dua ADUN PH daripada PKR tiada dalam dewan ketika undian dilakukan menyebabkan Speaker DUN Melaka, Datuk Omar Jaafar mengumumkan keputusan sedemikian.

Dua ADUN daripada PKR itu ialah Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya) dan Datuk Muhamad Jailani Khamis (Rembia).

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya sama ada tindakan akan menyusul ke atas dua ADUN PKR berkenaan ekoran ketiadaan mereka yang didakwa keluar dewan semasa proses pengundian itu berlangsung semalam, katanya tindakan mereka tidak boleh diterima dan mereka sepatutnya menghormati dan menyokong usul Adly.

“Saya sedang berhubung dengan mereka dan sepatutnya bertemu hari ini, sememangnya tindakan mereka tidak boleh diterima kerana mereka sepatutnya menghormati keputusan negeri dan seharusnya sokong ketua menteri mereka,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya sama ada insiden itu disebabkan spekulasi bahawa wujud krisis pergaduhan dalaman parti, Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun menolak dakwaan itu.

Tegasnya, jika wujud unsur pergaduhan dalaman atau tidak, keputusan negeri dan parti perlu dihormati mana-mana pemimpin.

Anwar juga diminta menjelaskan sama ada insiden itu mempunyai kaitan dengan spekulasi viral kononnya kerajaan pintu belakang akan dibentuk di Melaka.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak berfikir begitu tetapi mempertahankan kerajaan PH termasuk Ketua Menteri Melaka yang ada sekarang.

Semalam ketika ditemui di luar dewan Melaka, Adly berkata, undian di dalam dewan hari ini tidak memihak kepada PH apabila dua ADUN itu bertindak keluar dewan dan seorang lagi tidak dapat hadir kerana mengikuti perbicaraan mahkamah.

“Kita akan dapatkan maklumat daripada ahli dewan yang lain dan juga penjelasan daripada dua ahli dewan yang keluar dewan,” katanya.- MalaysiaGazette