KUALA LUMPUR – ‘Penyempurnaan’ abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaysia (PKM), Chin Peng di beberapa lokasi dalam negara ini merupakan tindakan cabul dan cabar yang didalangi pihak tertentu.
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, perbuatan itu bukan sahaja telah mencabul kedaulatan undang-undang, tapi hakikatnya menjadi antara siri mencabar sensitiviti rakyat yang menolak idealogi dan pendekatan ganas diperjuangkan Chin Peng.
Katanya, tindakan pihak terbabit membawa masuk abu mayat itu juga pencerobohan serius yang telah melanggar benteng pertahanan dan wajar diletakkan sebagai pengkhianatan terhadap maruah dan keselamatan tanah air ini.
“Sikap tidak setia kepada negara ini tidak harus dipandang enteng kerana ia merisikokan Malaysia kepada musuh.
“Kecurangan semakin berleluasa seperti ini nampaknya tidak lagi mengenal medan, di mana turut membarah ke lokasi pertandingan sukan.
“Bendera Malaysia sekali lagi dijadikan sasaran apabila ditukar bintang 14 bucu kepada lima bucu yang jelas menunjukkan tiadanya kesedaran sivik dan pengetahuan kenegaraan,” katanya di sini, hari ini.
BACA: Papar bendera Malaysia yang salah sangat memalukan – Syed Saddiq
Menurut Ir. Khairil Nizam, seperti lazimnya apabila isu menjadi gempar dan menimbulkan kemarahan rakyat, mereka cuba selesaikan dengan sekadar permohonan maaf.
Paling dangkal, kata beliau, apabila Kementerian Dalam Negeri sendiri sekadar beralasan ‘tidak tahu’, yang hanya menunjukkan kelemahan teramat ketara risikan dan maklumat berkaitan.
BACA: KDN tidak tahu abu mayat Chin Peng dibawa masuk, akan siasat
“Apakah ini bakal menjadi satu lagi episod yang akan mengkambinghitamkan penjawat awam terutama pasukan keselamatan negara sebagaimana kes di Kementerian Pertanian?
“Hakikatnya ‘pendedahan’ di media MalaysiaKini yang dikenali kecenderungan mereka itu merupakan satu isyarat keraian atas ‘kejayaan’, sekali gus memperlekeh pelbagai pihak bermaruah.
“Apatah lagi tidak sukar mengenalpasti pihak terbabit atas bukti nyata dari desakan dan tuntutan disuarakan mereka selama ini serta pengiktirafan kepada pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia sama sekali tidak mungkin melupakan kekejaman PKM yang telah membunuh 11,000 rakyat termasuk tokoh penting negara semasa di zaman darurat dahulu.
BACA:Abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia, ditabur di Lumut
Ianya hal yang tidak dapat dimaafkan, setelah pula Chin Peng sepanjang hidupnya tegar tetap mahu meraih kuasa sebagaimana kepercayaan idealogi didukunginya.
Jelas beliau, tidak ada sekelumit pun darinya permohonan maaf dan penyesalan, bahkan langsung tidak pernah menunjukkan hormat dan taat setianya kepada negara ini.
“Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan dalang terbabit mesti dihukum memandangkan perbuatan cabul dan cabar seperti ini semakin menjadi-jadi,” katanya. – MalaysiaGazette

















Balik2 KDN dengan alasan mereka.
Bila mau bertindak?????
Menteri Sukan pula sibuk kami akan menyiasat.
IGP belum buat kenyataan lagi, KENAPA????
Takut hilang pencen?