MELAKA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Melaka yang disifatkannya sebagai pendekatan unik dalam menyantuni rakyat dan tidak dilaksanakan di negeri lain.
Menurutnya, program berkenaan membolehkan wakil rakyat turun sendiri ke peringkat akar umbi bagi mendekati serta memahami keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Datuk Rauf, saya kagum kerana Datuk Rauf, exco-exco dan juga Ahli Yang Berhormat di sini menyantuni seluruh penduduk negeri Melaka.
“Wakil Rakyat Untuk Rakyat, tidak ada negeri lain yang buat melainkan di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ahmad Zahid berkata, pendekatan turun padang menerusi WRUR membuktikan peranan wakil rakyat di Melaka bukan sekadar di Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya turut mendekati masyarakat secara langsung di peringkat akar umbi.
“Wakil Rakyat Untuk Rakyat telah berada di akar umbi dan kita harap semua DUN di negeri Melaka telah disantuni,” katanya.
Beliau turut memuji usaha Ab Rauf yang aktif mendekati pelbagai kelompok masyarakat termasuk golongan muda serta komuniti penghantar p-hailing dan e-hailing.
Menurutnya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan golongan muda bukan hanya diraikan ketika program tertentu, sebaliknya terus disantuni dan diberi perhatian dalam agenda pembangunan negeri.
Ahmad Zahid berkata, Melaka mempunyai kira-kira 293,000 anak muda berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala hampir 53 peratus penduduk negeri itu berusia 40 tahun ke bawah.
“Ertinya, potensi tenaga kerja di Melaka ini cukup besar kerana ia bergantung kepada guna tenaga anak-anak muda di negeri Melaka ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















