Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan. foto HAZROL ZAINAL, 29 MEI 2019.

KUALA LUMPUR- Para pemegang saham FGV Holdings Bhd. (FGV) sebulat suara bersetuju dengan resolusi untuk membayar fi kepada Pengerusi Bukan Eksekutifnya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebanyak RM300,000 setahun, kurang 50 peratus berbanding RM600,000 setahun yang diterimanya sebelum ini.

Ketika mengumumkan hasil Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) FGV hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzillah Hassan berkata, fi bagi semua ahli lembaga pengarah yang lain bagaimanapun kekal sebanyak RM120,000 setahun.

Tambahnya, selain pembayaran fi, para pemegang saham juga bersetuju sebulat suara untuk mengurangkan beberapa manfaat dan faedah bukan monetari yang diterima oleh pengerusi dan lembaga pengarah yang lain.

Sebelum ini, Azhar telah memulangkan semula sebahagian faedah yang diterimanya sebagai pengerusi seperti pemandu dan pengawal peribadi.

“Kesemua enam resolusi yang berkaitan pembayaran fi dan faedah yang diterima oleh pengerusi serta lembaga pengarah FGV diluluskan 99.96 peratus pemegang saham.

“Sebelum ini sudah ada pengurangan dan kini pengurangan tersebut ditambah.

“Ianya sesuatu yang diterima oleh para pemegang saham dan sekarang adalah masa untuk kita memberi fokus dan mengembeleng tenaga untuk menjayakan pelan pemulihan syarikat,” katanya semasa sidang media selepas EGM di sini hari ini.

Tambah Haris, keputusan yang dicapai dalam EGM yang dihadiri kira-kira 1,000 pemegang saham tersebut adalah hasil daripada beberapa siri rundingan dengan para pemegang saham utama FGV sebelum ini.

Hasil tersebut juga adalah selari dengan amalan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat kerajaan (GLC) yang lain, katanya.

Pada 25 Jun lalu, tiga pemegang saham utama FGV iaitu Felda, Koperasi Permodalan Felda Malaysia (KPF) dan Lembaga Angkatan Tentera Malaysia (LTAT) menolak tiga resolusi membabitkan pembayaran fi kepada ahli-ahli lembaga pengarah dalam AGM syarikat tersebut.

Felda memiliki 33.7 peratus pegangan dalam FGV diikuti KPF (lima peratus) dan LTAT (1.25 peratus).

Manakala Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin menjelaskan, para pemegang saham mengambil keputusan menolak resolusi berkenaan ekoran prestasi buruk FGV pada tahun lepas apabila menanggung kerugian sebanyak RM1.08 bilion. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Pengarah FGV komited pulihkan syarikat walaupun tanpa bayaran