Noh Omar

KUALA LUMPUR – Berlaku kekecohan pada sesi penggulungan bagi usul kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat di sini malam ini.

Ia gara-gara perkataan lucah yang diucapkan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar (BN) terhadap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH).

Semasa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman menggulung perbahasan dengan menjelaskan mengenai pelaksanaan projek menaiktaraf balai dan kemudahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (PH) bangun menyatakan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Ariff Mohd. Yusof yang Noh didakwa telah menggunakan perkataan kasar dan lucah terhadap Rayer.

Timbalan Menteri KDN, Datuk Mohd Azis Jamman hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 NOVEMBER 2019

Menurut Ramkarpal, ia disiarkan oleh sebuah portal berita tempatan, FMT.

Noh kemudiannya bangun meminta Mohamad Ariff supaya menyoal peraturan mesyuarat yang digunakan RamKarpal untuk membangkitkan isu itu sebelum Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera (BN) mendakwa isu yang dilaporkan media sosial tidak wajar dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

Namun Ramkarpal dan Rayer masing masing merujuk Peraturan Mesyuarat 36 (4) melibatkan kelakuan kurang sopan sebelum speaker mengarahkan Noh memberi ruang kepada Ramkarpal memberi penjelasan peraturan mesyuarat yang dimaksudkan.

Ramkarpal berkata, Noh telah menggunakan perkataan kasar dianggap lucah dan ia satu kesalahan dewan dan jika benar perlu dirujuk tindakan seperti sebelum ini di mana Ramkarpal sendiri pernah diarah keluar dewan kerana menggelar beberapa ahli parlimen sebagai gengster.

Speaker bagamanapun menjelaskan beliau tidak boleh membuat sebarang arahan melainkan beliau melihat dan memastikan apa yang diterbitkan dalam portal berita itu benar dan dari sumber yang sahih.

“Jadi, sudah menjadi kebiasaan beberapa bulan sebelum ini, kali ini saya akan memohon bahawa sesiapa yang membangkitkan peraturan mesyuarat bersabit perkara begini, menulis kepada saya menyatakan apakah fakta-fakta yang dikatakan benar itu untuk pertimbangan saya.

“Apabila saya terima surat itu saya akan memberi kesempatan kepada pada siapa ditujukan bantahan itu supaya dia menjawab, kemudian saya buat ruling..sebab kalau minta saya melihat FMT dan sebagainya , ini sosial media ya. ia harus diputuskan sama ada benar atau tidak.

“Maka apa yang saya ingin lakukan ialah seperti yang dinyatakan tadi tulis kepada saya, semua orang diberi kesempatan untuk membela diri, tiada masalah tulis kepada saya,” katanya.

Ramkarpal bersetuju dengan saranan Speaker Dewan Rakyat sebelum menjelaskan terdapat rakaman video yang membuktikan perbuatan Noh itu.

Mohd. Ariff kemudian mengarahkan semua ahli parlimen terbabit duduk di kerusi masing-masing dan meminta Azis meneruskan penggulungan perbahasan.

Akhirnya pukul 10.10 malam baru Perbelanjaan 2020 KDN diluluskan kelebihan suara tanpa mengadakan undian belah bahagi. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.