Gambar hiasan. foto AFIQ RAZALI, 12 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR- Permohonan maaf daripada penganjur Majlis Perasmian Kejohanan Bola Keranjang Milo Lum Mun Chak ke-28 yang memaparkan grafik bendera Malaysia berbintang pecah lima tidak setimpal dengan pengkhianatan terhadap Jalur Gemilang.

Sebaliknya, Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta tindakan yang lebih tegas diambil kepada semua pihak yang terlibat.

“MBM melihat kesalahan pada bendera itu sebagai perbuatan khianat dan sabotaj pihak yang tidak bertanggung jawab.

“Justeru, permohonan maaf daripada penganjur adalah tidak setimpal dan tindakan tegas perlu diambil.

“MBM menggesa Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat individu yang bertanggung jawab dalam mencetuskan kemarahan rakyat,” kata Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd. Husni Abdullah dalam satu kenyataan di sini.

BACA: Bendera lima bintang: Ini sudah melampau

Katanya, pihak penganjur perlu lebih peka dan bersifat sensitif terhadap sebarang pengisian semasa majlis rasmi atau tidak rasmi.

Sebarang kesalahan terhadap bendera tidak patut timbul kerana umum katanya mengetahui Jalur Gemilang mempunyai 14 jalur merah dan putih, anak bulan dan bintang pecah 14 berwarna kuning yang melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang mendokong Rukun Negara dan menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.

“MBM kesal dengan perbuatan khianat ini. Bendera merupakan lambang kedaulatan sesebuah negara yang berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan ibu pertiwi,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. 60 tahun merdeka masih x kenal bendera sendiri.Halau dari negara ini buang kewarganegaraan dan kerakyatan.

Comments are closed.