Akmal Nasrullah Nasir
Akmal Nasrullah Nasir

KUALA LUMPUR – Sehari selepas pejabatnya disimbah cat, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menganggap ia dilakukan dengan motif politik.

Berdasarkan kepada rakaman CCTV, katanya, kejadian telah berlaku pukul 3.24 pagi dan menunjukkan ia dilakukan oleh dua orang individu yang tidak dikenali.

“Terdapat kelibat dua individu beserta sebuah kereta yang digunakan dalam perbuatan tersebut. Rakaman ini telah diserahkan kepada pihak polis dan saya juga telah memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Setakat maklumat sehingga kini, motif perbuatan jenayah ini menjurus kepada intimidasi politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), siasatan kes menjurus kepada perbuatan khianat dan ugutan di bawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian awal pagi semalam, pintu masuk Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru itu disimbah dengan cat merah.

Malah terdapat bangkai seekor ayam serta mesej ugutan terhadapnya turut dicampakkan di hadapan pintu berkenaan.

Tambah Akmal, kejadian disedari kakitangan pusat berkenaan pada pukul 7.20 pagi ketika ingin masuk ke pejabat terbabit. -MalaysiaGazette

Pejabat Akmal Nasir disimbah cat