Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempunyai pandangan berbeza dengan keputusan mahkamah hari ini.

Walaupun menghormati keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan saman Datuk Seri Musa Aman mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai ketua menteri Sabah namun beliau ada pandangan lain.

“Isu lebih besar dan signifikan yang perlu diputuskan Mahkamah Rayuan ialah apakah Tuan Yang Terutama mempunyai kuasa untuk memecat seorang ketua menteri yang telah dilantik atau tidak.

“Rakyat mahu hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang arif membuat tafsiran Perlembagaan kerana kegagalan untuk membuat tafsiran itu akan menyebabkan politik Sabah sentiasa bergolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan Kota Kinabalu menolak rayuan saman Musa dan memerintahkan beliau membayar RM50,000 kepada Shafie dan RM20,000 kepada Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin, masing-masing sebagai responden kedua serta pertama.

Hakim Kamardin Hashim berkata, panel tiga hakim membenarkan bantahan awal selepas bersetuju dengan peguam Shafie yang kes itu ialah akademik.

Peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad dilaporkan berkata, mereka kecewa dengan keputusan hari ini dan akan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Dalam masa sama, Rahman berkata, langkah yang dibuat juga tidak berniat menghina kedudukan gabenor.

Tetapi, katanya, proses pemecatan ketua menteri perlu sejajar semangat demokrasi dan ia tidak patut diputuskan gabenor negeri.

“Ia tidak sepatutnya diputuskan oleh Istana. Ia sepatutnya dikembalikan kepada Dewan Undangan Negeri, tempat suara keramat rakyat bersemayam,” katanya.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman pemula difailkan Musa terhadap Juhar dan Shafie yang menuntut mahkamah mengisytiharkan Musa sebagai ketua menteri yang sah.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Musa Aman gagal cabar pelantikan Shafie

1 Komen

  1. Tunggu saja PRU15…ayoh org bumiputra SABAH..kita hantar dia org pulang kampung tanam pisang sama ubi…SABAH FOR SABAHAN..bukan tulul atau susu kacang…

Comments are closed.