Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kata Tan Sri Annuar Musa hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, perjumpaan itu adalah penting bertujuan untuk mendapatkan penjelasan daripada segi aspek undang-undang.

Katanya, tindakan itu perlu kerana kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memaksa wakil rakyat mengisytiharkan harta kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat.

“MP Pembangkang akan bertemu SPRM untuk penjelasan aspek undang-undang. Memaksa MP isytihar harta kepada speaker adalah penyalahgunaan kuasa dewan dan tiada kuatkuasa undang-undang.

“Speaker tidak punya wibawa dan locus standi kecuali bagi perkara berkaitan perjalanan dan peraturan sidang,” katanya dalam ciapan twitter beliau hari ini.

Dalam twitter sama beliau juga menegaskan berlaku situasi ahli parlimen membuat pengiystiharan harta tidak benar tetapi speaker tiada kuasa untuk menyiasat atau mengenakan tindakan kerana beliau tiada kuasa undang-undang.

Beliau turut mendakwa speaker tidak bersifat neutral kerana dilantik parti memerintah.

“Mencampuri hal peribadi dan luar dewan adalah salah,” tegasnya.

Beliau juga menyatakan sebagai penggubal undang-undang, ahli Parlimen tidak sepatutnya melakukan sesuatu kerana sentimen dengan membelakangkan undang-undang.

“Parlimen sepatutnya gubal undang-undang mewajibkan MP isytihar harta, bukannya buat peraturan dengan usul yang tidak berkaitan dengan tugas dewan rakyat,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette