Donald Trump. foto Agensi

NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam telah  menandatangani undang-undang menyokong penunjuk perasaan di Hong Kong.

Penunjuk perasaan itu sebelum ini mendakwa ingin mengekang tahap kawalan Beijing ke atas kehidupan mereka, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Rumah Putih.

Kenyataan itu menyebut Trump menandatangani undang-undang yang mengkehendaki semakan tahunan status perdagangan khas Hong Kong dan sekatan ke atas mana-mana pegawai yang bertanggungjawab melanggar hak asasi manusia.

Undang-undang itu diluluskan pada 20 Nov oleh Dewan Perwakilan apabila melepasi Senat tanpa bantahan.

Trump turut menandatangani satu lagi undang-undang yang “melarang eksport AS yang terdiri daripada peralatan spesifik polis ke Hong Kong,” menurut kenyataan itu.

Hong Kong terjerumus dalam kancah kekacauan selama berbulan-bulan akibat tunjuk perasaan jalanan ganas bagi membantah apa yang disifatkan sebagai campur tangan Beijing terhadap kebebasan yang dijanjikan kepada bekas tanah jajahan Britain itu semasa ia dikembalikan kepada pemerintahan China pada 1997.

Beijing menafikan dakwaan tersebut dan berkata, ia komited dengan formula “satu negara, dua sistem” yang dilaksanakan ketika itu.-  BERNAMA