Suhaida Azmani, 27, yang hamil 39 minggu itu tidak menyangka akan berasa sakit untuk bersalin pada hari ini memandangkan dia hanya dijangka bersalin pada 7 Disember ini.

BESUT – Seorang wanita berdepan detik cemas mengharungi air bah di rumahnya di Felda Tenang, di sini dalam keadaan sakit untuk melahirkan anak sulungnya.

Suhaida Azmani, 27, yang hamil 39 minggu itu tidak menyangka akan berasa sakit untuk bersalin pada hari ini memandangkan dia hanya dijangka bersalin pada 7 Disember ini.

“Saya sudah merasa sakit perut sejak pagi tadi. Semasa air mula naik petang tadi sakit pula semakin kuat. Ahli keluarga minta pertolongan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tetapi lori mereka tidak boleh masuk kerana air terlalu tinggi.

“Lepas itu polis datang dan bawa saya naik perahu ke sini. Doktor di klinik kesihatan memberitahu saya boleh sahaja pergi ke rumah ibu saudara saya di Pasir Akar sementara menunggu waktu betul-betul hendak bersalin,” katanya dalam keadaan tenang walaupun menahan kesakitan ketika ditemui di Kampung Bukit Payong, di sini.

Namun katanya anggota penyelamat menasihati beliau untuk terus ke hospital kerana khuatir kawasan Pasir Akar juga akan ditenggelami air.

Selepas dibawa dengan perahu ke Kampung Payong, Suhaida dibawa menaiki jentera lori APM dan sebuah ambulan menunggunya di kawasan yang cetek untuk dibawa ke Hospital Besut di sini.

Suri rumah yang menetap di Kuala Lumpur itu pulang ke kampung halamannya di sini sejak 13 Nov lepas sebagai persediaan untuk melahirkan anak.

Katanya suaminya Badrul Naim Mat Taha, 26, yang kini berada di Kuala Lumpur bekerja sebagai juruteknik baru sahaja dimaklumkan mengenai keadaannya dan sedang dalam perjalanan ke sini.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.