Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut supaya Penasihat DAP Lim Kit Siang dan dua lagi pihak, mengemukakan surat tunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dianggap menghina mahkamah susulam penerbitan satu artikel berkaitan dana RM42 bilion SRC International Sdn Bhd.

Tuntutan itu timbul selepas notis usul dan afidavit sokongan Najib, yang difailkan pada 11 November lepas di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa permohonan ex-parte, muncul untuk pengurusan kes hari ini di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib, 66, menuntut Lim, portal berita Malay Mail, dan seorang pemberitanya, menunjukkan sebab mengapa mereka tidak boleh dianggap menghina mahkamah berhubung penerbitan satu artikel bertajuk “Kit Siang: High Court decision on Najib and Tanjung Piai by election outcome will indicate where Malaysia headed towards”, yang dimuat naik pada 9 November.

Hakim Mohd Nazlan pada 11 November lepas mengarahkan Najib supaya membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan dalam perbicaraan SRC, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.

Najib, 66, sedang berhadapan dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 bilion.

Najib dalam afidavit itu mendakwa bahawa artikel itu dibuat bagi mengenakan tekanan keatas Mahkamah Tinggi berhubung keputusan mahkamah berkenaan dal kes SRC International itu.

Beliau juga mendakwa siaran akhbar Lim dan artikel berkenaan ditampilkan bagi mengancam dan mempunyai kecenderungan bagi melemahkan dan mengenepikan kuasa mahkamah, di samping campur tangan dan menghalang pelaksanaan proses keadilan.

Yang kelihatan di Mahkamah hari ini ialah peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah; peguam Lim; Ramkarpal Singh dan peguam Malay Mail serta pemberitanya Datuk S. Ambiga.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Negara tidak diurus oleh wakil rakyat sekarang. Banyak sangat politik peribadi yang diuruskan. sebab hendak tunjuk siapa hero. Sebab itu rakyat kesal memilih pakatan harapan.

Comments are closed.