Datuk Shamsubahrin Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyelaraskan harga tambang bagi semua teksi dan kenderaan e-hailing jika mahu memperkasakan perlaksanaan ekonomi gig pada masa akan datang.

Pengasas Big Blue Capital (M) Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, ia termasuk kereta dan motosikal.

Ini kerana, katanya, pelaksanaan tambang sama rata memberi situasi menang-menang kepada syarikat, pemandu dan penumpang e-hailing.

“Kerajaan perlu mencari kaedah terbaik bagi memastikan penyelesaian yang dirangka menguntungkan kedua-dua belah pihak iaitu teksi dan e-hailing.

“Pelaksanaan ekonomi gig bukan sahaja melibatkan kadar tambang sama rata namun ia turut meliputi manfaat seperti bayaran pampasan, cuti sakit dan perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shamsubahrin, perkara tersebut perlu dititikberatkan bagi mengelakkan kejadian yang menimpa kira-kira 100 penghantar makanan dalam talian Foodpanda baru-baru ini berulang.

“Mereka melakukan piket di beberapa buah negeri bagi menyuarakan ketidakpuasan hati susulan skim pembayaran baharu yang dikatakan berat sebelah dan menindas golongan itu,” ujarnya.

Beliau berkata, ekonomi gig mampu memberi manfaat kepada kerajaan namun penetapan undangundang berkaitan perkhidmatan e-hailing bakal meningkatkan kos operasi pengusaha perkhidmatan berkenaan.

“Ini kerana syarikat e-hailing perlu mengeluarkan kos yang lebih bagi tujuan pembayaran upah minimum, perlindungan insurans dan lain-lain yang sebelum ini tidak perlu dilakukan,” ujarnya.

Ekonomi gig merupakan pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek dan pekerjaan bebas menerusi sokongan aplikasi teknologi.

Malaysia masih berada dalam fasa awal untuk mengawal selia ekonomi gig.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan kerajaan akan memberikan tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru
dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025.- MalaysiaGazette