Ahmad Yakob

KUALA LUMPUR – Penduduk Kelantan yang terjejas dengan banjir diminta mengambil langkah segera untuk berpindah dan melakukannya sebelum waktu Maghrib.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan timbul dalam proses pemindahan.

“Saya berharap, seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah,” katanya dalam akaun Twitter.

Ahmad berkata, laporan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi pada pagi ini menunjukkan hampir seluruh Kelantan akan mengalami tahap hujan diperingkat Bahaya sehingga esok.

Berikutan itu, beliau menggesa penduduk Kelantan melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri tidak tidak dilanda banjir besar pada tahun ini dan menghadapi ujian di musim tengkujuh ini dengan penuh kesabaran.

Sementara itu, Mohamad berkata, sehingga kini jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka adalah sebanyak 32 buah melibatkan seramai 1,440 mangsa daripada 380 keluarga diseluruh negeri Kelantan.

“Sehubungan itu, melihat kepada keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini dan aliran peningkatan air sungai-sungai utama, saya berpesan kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda terutamanya mereka yang terlibat dengan kawasan berisiko banjir,” ujarnya.
Tambah beliau, semangat saling mengambil berat dan bergotong royong amatlah dititik beratkan untuk menghadapi ujian itu. – MalaysiaGazette