Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan perolehan bagi Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK), Kebersihan Bangunandan Kawasan (KBK) serta Bekalan Makanan Bermasak (BMB)i untuk kontrak bermula 1 Januari 2020.

Menurut Kementerian Pendidikan, pihaknya telah melaksanakan perolehan ketiga-tiga perkhidmatan itu bagi kontrak bermula Jun dan Julai 2019.

“Pelaksanaan tender bagi kontrak bermula 1 Januari 2020 mengandungi 1,652 tender perkhidmatan merangkumi 858 tender PKK,401 tender KBK serta 393 BMB.

“Semakan rekod terdapat lebih 275,000 petender telah menyertai tender-tender berkenaan secara atas talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan telah menggunapakai sistem ePerolehan (eP) sepenuhnya dalam melaksanakan perolehan bekalan dan perkhidmatan bukan perunding bermula bulan Julai 2018.

Katanya, kesemua tender sedang dalam peringkat akhir proses
perolehan dan akan dibentangkan kepada Mesyuarat Lembaga Perolehan KPM yang dipengerusikan oleh ketiga-tiga Timbalan Ketua Setiausaha KPM,yang telah diturunkan kuasa oleh Ketua Setiausaha sepertimana amalan sebelumnya. – MalaysiaGazette