Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR turut mengambil kira surat serta laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebelum memutuskan untuk memecat Zakaria Abdul Hamid dan Ismail Dulhadi.

Menurut Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil, surat dari SPRM bertarikh 23 Oktober 2019 dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim, yang memperincikan hasil siasatan lengkap ke atas dua individu berkenaan.

Siasatan itu, katanya, berdasarkan laporan oleh Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syukri Razab pada 25 September 2018, yang mendakwa Zakaria (Ketua Cabang PKR Bera) dan Ismail (anggota PKR) telah membuat perjumpaan dengan ketua-ketua ranting Cabang Bera.

“Hasil siasatan itu, SPRM telah mendapati Zakaria ada memberitahu hadirin di pertemuan itu berhubung peruntukan RM300,000 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Beliau dikatakan meminta setiap ketua ranting menyediakan kertas kerja bagi projek kecil bernilai RM20,000 dan turut memberitahu kepada yang hadir untuk mengambil keuntungan RM2,000 ke RM3,000 bagi setiap projek.

“Ismail pula didapati menyerahkan senarai nama kontraktor yang terdiri daripada mereka yang hadir itu kepada Majlis Daerah Bera (MDB),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Fahmi, apabila disiasat SPRM berhubung tindakan itu, pegawai MDB mengakui senarai yang dikemukakan Ismail mempengaruhi dirinya sewaktu membuat pilihan kontraktor.

SPRM, kata beliau, mendapati tindakan kedua-duanya adalah salah iaitu meminta ketua ranting mengambil keuntungan peribadi bagi projek dan memberi senarai nama kontraktor kepada MDB.

“Akhirnya, mengambil kira kepentingan awam, Timbalan Pendakwa Raya SPRM telah memperakukan agar tindakan tatatertib diambil parti terhadap kedua-dua individu tersebut.

“Semua fakta ini telah disampaikan oleh Ahmad kepada MPP pada 24 November lalu dengan cadangan tindakan tatatertib iaitu Zakaria dan Ismail dipecat.

“Setelah mempertimbang semua fakta, dapatan dan hasil siasatan mendalam pihak SPRM beserta perakuan tegas Timbalan Pendakwa Raya SPRM, MPP telah membuat keputusan bersetuju dengan cadangan Lembaga Disiplin untuk memecat dua individu ini,” katanya.

Menurut Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, PKR mengulangi kesungguhan parti menolak sepenuhnya amalan rasuah, seiring komitmen kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hendak menzahirkan Malaysia Bersih dan bebas rasuah. – MalaysiaGazette