Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 1,235 graduan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) menerima diploma dan sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-10, yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad lalu.

Semua graduan sijil lanjutan dan diploma telah diraikan di dalam dua sidang majlis konvokesyen yang berasingan.

Naib Canselor PICOMS, Prof. Dr. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata, sejak tahun 1993 sehingga kini, PICOMS telah berjaya melahirkan sejumlah hampir 6,000 graduan dari pelbagai bidang sains perubatan dan pengurusan.

Majlis konvokesyen kali ini adalah terdiri daripada lulusan dalam 12 program iaitu Diploma Farmasi, Diploma Sains Kejururawatan, Diploma Sains Perubatan, Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Kesihatan Persekitaran, Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan.

Selain itu, Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pengurusan Logistik, Diploma Fisioterapi, Diploma Terapi Carakerja dan Certificate in Post Basic Renal Nursing.

Majlis kali ke-10 ini, telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee, manakala sidang kedua disempurnakan oleh Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Ahmad Fathi Basri, penerima Anugerah Emas.

Pada majlis bersejarah itu, PICOMS turut menganugerahkan Anugerah Graduan Cemerlang yang dipilih dari setiap program dan Anugerah Emas Perdana MAIWP.

PICOMS menganugerahkan Anugerah Emas Perdana MAIWP pada tahun ini kepada Ahmad Fathi Basri yang mengikuti program Diploma Farmasi.

Graduan ini memperolehi Anugerah Dekan setiap semester dan seterusnya memperolehi CGPA 3.91.

Dr. Wan Mohd. Azizi menambah, tahap kebolehkerjaan graduan PICOMS sejak tiga tahun kebelakangan ini adalah pada tahap 90 peratus.

“Ini menunjukkan penerimaan yang tinggi di kalangan majikan terhadap graduan PICOMS,” ujarnya. – MalaysiaGazette