PLUS Malaysia Bhd.

KUALA LUMPUR- Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membahayakan diri sendiri dengan mengalihkan sebarang halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya.

PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) dalam satu kenyataan berkata, pengguna lebuhraya sepatutnya menghubungi PLUS dengan segera bagi membolehkan pasukan PLUSRonda atau penyelenggaraan Propel dikerah untuk mengalihkan objek berkenaan.

Jelasnya, kesemua petugas lebuhraya seperti anggota PLUSRonda dan penyelenggaraan Propel adalah terlatih untuk melakukan kerja-kerja pengalihan halangan dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi.

“Lebuhraya adalah persekitaran yang amat berbahaya dengan kehadiran banyak kenderaan.

“Oleh itu, PLUS tidak menggalakkan pelanggan yang mengesan kehadiran sebarang objek atau halangan di lebuhraya untuk mengalihkan memandangkan tindakan terbabit boleh mendedahkan mereka kepada risiko dirempuh oleh kenderaan lain sekali gus menyebabkan kemalangan.

“Sebaliknya, pelanggan dinasihatkan supaya segera menghubungi PLUS menerusi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000 sebelum pasukan PLUSRonda atau Propel dikerahkan ke lokasi untuk mengalihkan objek berkenaan,” katanya.

PLUS turut menegaskan tugas mengalihkan objek atau halangan di lebuhraya hanya boleh dikendalikan oleh petugas lebuhraya seperti yang diperuntukkan di dalam Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP) yang diperkenalkan oleh syarikat.

“PLUS tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan semua pelanggan lebuhraya. Justeru, sebagai satu daripada langkah meningkatkan tahap keselamatan, pasukan PLUSRonda dan penyelenggaraan sentiasa membuat rondaan untuk mengesan halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya.

“PLUS juga sudah memperkenalkan penggunaan pasukan kenderaan keselamatan bagi mewujudkan zon keselamatan sementara kerja pengalihan sebarang objek atau halangan di lebuhraya. Pelanggan lebuhraya dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan mematuhi arahan serta mengurangkan kelajuan kenderaan ketika pasukan ini sedang beroperasi.

“Malah, PLUS juga sentiasa berkolaborasi bersama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis untuk mengurangkan kehadiran halangan atau objek yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelanggan lebuhraya,” katanya.

Sebelum ini, tular satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki mengambil risiko dengan mengalihkan satu halangan atau objek yang tercicir di lebuhraya.- MalaysiaGazette