Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media khas di Kompleks Perbadanan Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Usia sistem saliran paip bawah tanah berusia lebih 80 tahun sebelum zaman Perang Dunia Kedua punca beberapa kejadian pemendapan tanah di sekitar ibu negara sejak akhir-akhir ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kebocoran pada paip bawah tanah yang usang punca berlaku pengaliran dan takungan air bawah tanah menyebabkan kejadian tanah mendap sehingga menyebabkan kerosakan harta benda awam.

Bagaimanapun katanya, masalah mendapan itu berjaya ditangani oleh Syarikat Air Selangor dengan kerja penambahbaikan dan penggantian paip

“Dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kita mengenalpasti jalan-jalan utama aliran melibatkan aliran trafik tinggi sepanjang masa yang mempunyai jajaran paip air di tepi atau di bawah jalan supaya diperiksa mengelak sebarang risiko kebocoran selepas ini.

“Insiden tanah mendap berpunca daripada kebocoran paip bawah tanah dan air itu menyebabkan hakisan tanah bawah jalan sehingga menyebabkan pemendapan.

“Kini Air Selangor sedang dalam proses menyediakan kerangka kerja melibatkan kedudukan jajaran paip air bawah tanah di Lembah Klang dengan kerjasama DBKL.

“Dulu, ia tak direkodkan dengan baik dan tersusun dengan dilengkapi data-data malah saya difahamkan kebanyakan paip di bawah tanah di Lembah Klang termasuk di ibu kota usianya sebelum Perang Dunia Kedua lagi dan kini dalam proses penggantian secara berfasa,” ujarnya dalam sidang media selepas melawat PPR Kerinchi hari ini.

Tambah Khalid, kerangka kerja itu kelak membolehkan mana-mana pembangunan pada masa depan membantu pemaju mengetahui lebih sistematik kedudukan laluan paip bawah tanah di kawasan jalan utama di ibu negara.

Menurutnya, kerangka itu akan siap sebelum 15 Januari 2020 dan selepas itu ia akan ditambahbaik dengan data-data supaya projek masa depan disokong dengan maklumat lengkap kedudukan aliran paip bawah tanah sebelum sesebuah kerja pembangunan dilaksanakan.

“Saya difahamkan, kesemua aliran paip air melibatkan 28,000 kilometer dan proses menukar sedang dijadualkan untuk kerja-kerja pembaikan dan hanya mampu melaksanakan 120 kilometer hingga 200 kilometer jajaran paip setahun dan proses keseluruhannnya akan memakan masa sedikit.

“Tetapi DBKL akan mengenalpasti kawasan-kawasan yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu,” katanya.- MalaysiaGazette