Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Northern Gateway Logistic Center Sdn Bhd dengan One Northern Hub Sdn Bhd di Hotel Dorsett, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 DISEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan bersedia memberi pertimbangan serius untuk meningkatkan bajet pertahanan negara sekiranya keadaan ekonomi mengizinkan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan begitu juga dengan anggota-anggota pasukan keselamatan.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab sama ada permintaan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu semalam yang mahu bajet kementeriannya ditambah kepada satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar boleh diperuntukkan dalam Bajet 2021.

“Biarlah saya kekal pada jawapan saya tadi.

“Kementerian Pertahanan selalu mendapat perhatian kerajaan.  Kami memang memberi tumpuan kepada pertahanan (negara).

“Malah anggota-anggota pasukan keselamatan juga diberi perhatian sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Guan Eng menyaksikan pemeteraian perjanjian usahasama di antara Northern Gateway Logistic Center Sdn. Bhd. dan One Nothern Hub Sdn. Bhd.

Usahasama tersebut adalah bagi membangunkan dan mengendalikan Depot Trak dan Depot Pelepasan Darat di Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Kedah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast